MINUM AIS, KAFEIN PUNCA LEMAH TENAGA BATIN?



MINUM AIS, KAFEIN PUNCA LEMAH TENAGA BATIN? 

ADAKAH minuman sejuk seperti ais baik untuk lelaki? Suami gemar minuman sejuk serta berkafein.

Adakah minuman seperti ini memudaratkan alat kelaminnya? Saya dan suami hanya melakukan seks seminggu sekali, dan air maninya hanya sedikit tetapi pekat. Bagaimanakah ia boleh terjadi?

MINUMAN sejuk melegakan kehausan. Ini gambaran yang kita dapat setiap kali melihat iklan minuman. Malah, iklan itu tidak dibuat tanpa kajian.

Minuman sejuk juga melegakan keradangan tekak. Tidak hairan jika kita mengalami jangkitan tekak, doktor syorkan minuman sejuk atau aiskrim. Sama juga jika mengalami bengkak atau keradangan sendi atau kecederaan, kita guna ais untuk meredakannya.

Begitupun, minuman sejuk tidak mengganggu ereksi atau melemahkan tenaga batin. Sebenarnya, tiada kaitan antara ais dan tenaga batin seseorang kerana ketegangan dan ereksi lelaki berlaku apabila darah disalurkan kepada zakar. Jadi, tiada sebab mengapa lelaki tidak boleh minum minuman sejuk.

Bercerita mengenai kafein, ramai tidak tahu kafein daripada kopi mempunyai kuasa melancarkan darah dalam anggota kelamin secara sederhana seperti ubat pelancar darah PDE-5 Inhibitor seperti 'Viagra'.

Tidak hairan jika kita lihat kopi menjadi minuman kegemaran lelaki sejak turun temurun. Kopi juga dapat menghindari penyakit nyanyuk atau Alzheimer selain mengandungi antioxiden yang menyegarkan tubuh badan dan nyah penuaan.

Jika suami suka minum kopi atau Nescafe bercampur ais, biarkan saja. Setahu saya, minum kopi sebegitu tidak mengganggu fungsi syahwat.

Mengenai air mani pekat, memang pada mula air mani yang keluar adalah pekat. Beberapa minit kemudian ia menjadi cair untuk memudahkan sperma bergerak aktif.

Kesuburan lelaki hanya boleh diketahui setelah menjalani ujian air mani. Melihat keadaan air mani sama ada pekat, sedikit atau cair tidak memberi apa-apa makna.

Anda jangan was-was mengenai kesihatan suami. Jika dia gagal dalam hubungan seks, anda harus mencadangkan dia berjumpa doktor, bukan bomoh, tukang urut atau membeli ubat di kaki lima.

Kini semua masalah kesihatan lelaki ada penawar dan boleh dirawati doktor melalui rawatan moden.

(Sumber Harian Metro)